30 Ogos 2015. Hari pertama aku
menjejakkan kaki di USM Kubang Kerian bagi memulakan tahun pertama aku sebagai
pelajar perubatan di sini. Tidak pernah kubayangkan sama sekali bahawa hari ini
aku sudah bergelar seorang mahasiswi di sebuah universiti tempatan yang
diiktiraf dunia. Perasaanku berbaur. Sedih kerana sekali lagi perlu berjauhan
dengan keluarga tetapi gembira kerana cita-cita dan impianku ingin bergelar
mahasiswi telah tercapai.
Jam 8 pagi aku mendaftarkan diri di
Dewan Murni. Hari pertama di sini agak sibuk. Banyak urusan yang perlu
diselesaikan. Aku ditempatkan di bilik 157 bersama dengan seorang rakanku dari
asasi dan seorang lagi rakan baru. Jam 2 petang, minggu orientasi dengan
rasminya telah bermula. Hatiku berkobar-kobar. Resah tapi gembira. Aku sedar
mulai saat itu, perjalananku sebagai seorang mahasiswi apatah lagi sebagai
seorang pelajar perubatan tidak mudah.
6 September 2015. Setelah tamat
minggu orientasi, hari ini hari pertama aku sebagai seorang pelajar perubatan.
Minggu pertama lebih kepada perkenalan dan pendedahan dengan dunia perubatan.
Kuliah dan praktikal bermula pada minggu seterusnya. Pada awalnya semuanya
kurasakan mudah. Tetapi makin lama aku mula rasa tidak senang duduk. Jujur suasana
di sini amat berbeza. Mungkin tidak pentingkan diri, tetapi masing-masing hanya
belajar untuk diri sendiri. Suasana belajar bersama-sama seperti di bangku
sekolah dahulu sudah tiada. Bahkan komunikasi antara satu sama lain kurasakan
kurang seolah-olah masing-masing tidak mahu diganggu.
Di dalam kelas, aku dapat lihat
seperti ada yang ingin menindas rakan sendiri. Tidak semua begitu kerana masih
ada yang sudi membantu dan berkongsi ilmu, tetapi bilangannya terlalu kecil
sehinggakan aku rasa adakah mereka ini layak bergelar doktor suatu hari nanti
sedangkan tika bergelar pelajar perubatan, mereka berlagak seperti diktator
sehingga membuat orang lain hilang keyakinan diri?
Lama-kelamaan barulah aku sedar.
Hidup ini satu perlumbaan. Bukan menindas tapi masing-masing ingin menjadi yang
terbaik antara yang terbaik. Itulah realiti kehidupan. Namun, ia menjadi
semakin sukar untukku. Aku rasa seolah-olah diriku jauh tertinggal di belakang.
Peperiksaan semester 1 hanya tinggal beberapa minggu sahaja tapi fokus aku
semakin menghilang, sedangkan rakan-rakan berhempas-pulas membuat persiapan
tetapi aku hanya termenung memikirkan nasib diriku. Aku hampir putus asa. Ingin
saja aku menarik diri dari dunia perubatan. Tetapi atas nasihat seorang rakan,
aku bertahan. Demi harapan kedua ibu bapaku, aku mula mencari semangat baru.
Aku melangkah ke dalam dewan
peperiksaan tanpa sebarang persiapan. Rakan-rakan mentertawakan aku kononnya
aku cuba mempermainkan mereka. Kononnya aku lebih bersedia daripada mereka,
tetapi ingin berselindung. Perasaan gemuruh memasuki dewan peperiksaan kupendam
sendiri. Dua bulan kemudian, keputusan peperiksaan diumumkan. Aku terkejut.
Tanpa sebarang persiapan, aku lulus. Aku mula percaya dengan kebolehan diriku. Hal
ini seolah-olah memberi semangat baru buat diriku. Aku nekad. Aku tidak ingin
berputus asa sebaliknya aku ingin terus berusaha supaya dapat berjuang di
samping rakan-rakanku hingga ke garisan penamat.
Semester kedua bermula dengan
semangat baru. Azam baru. Tapi nasib seolah-olah tidak memihak padaku. Semuanya
bermula dengan baik sehinggalah aku dilanda pelbagai masalah. Sekali lagi aku
hampir berputus asa kerana kurasakan di sini bukan tempatku. Namun, ada hikmah
di sebalik apa yang berlaku. Aku bertemu dengan rakan-rakan yang memahami aku.
Siang malam menemaniku di saat senang mahupun susah. Nasihat dan dorongan
diberikan. Mereka menjadi sumber kekuatanku di sini. Mereka umpama satu
anugerah yang tiada gantinya. Kerana mereka aku bangun semula. Walaupun
keputusan peperiksaan semester 2 aku tidaklah begitu cemerlang, namun aku
bersyukur. Ada sesuatu yang lebih bernilai aku peroleh, iaitu sahabat. Kini
azamku lebih kuat. Aku berjanji pada diriku. Aku tidak akan pernah berputus
asa. Meskipun beribu kali aku jatuh, aku pasti akan bangun semula.
Walaupun tahun pertama aku
bergelar pelajar perubatan begitu sukar dan mencabar, namun aku telah belajar
sesuatu yang sangat bermakna.
Nice Blog Dear!
ReplyDeleteAwesome Post, thanks for sharing the information. i will follow your posts time to time. please check my post also, here some amazing information i can post time to time. so, please check my url - Janam Kundli - Birth Chart