26 September 2016

impian

30 Ogos 2015. Hari pertama aku menjejakkan kaki di USM Kubang Kerian bagi memulakan tahun pertama aku sebagai pelajar perubatan di sini. Tidak pernah kubayangkan sama sekali bahawa hari ini aku sudah bergelar seorang mahasiswi di sebuah universiti tempatan yang diiktiraf dunia. Perasaanku berbaur. Sedih kerana sekali lagi perlu berjauhan dengan keluarga tetapi gembira kerana cita-cita dan impianku ingin bergelar mahasiswi telah tercapai.

Jam 8 pagi aku mendaftarkan diri di Dewan Murni. Hari pertama di sini agak sibuk. Banyak urusan yang perlu diselesaikan. Aku ditempatkan di bilik 157 bersama dengan seorang rakanku dari asasi dan seorang lagi rakan baru. Jam 2 petang, minggu orientasi dengan rasminya telah bermula. Hatiku berkobar-kobar. Resah tapi gembira. Aku sedar mulai saat itu, perjalananku sebagai seorang mahasiswi apatah lagi sebagai seorang pelajar perubatan tidak mudah.

6 September 2015. Setelah tamat minggu orientasi, hari ini hari pertama aku sebagai seorang pelajar perubatan. Minggu pertama lebih kepada perkenalan dan pendedahan dengan dunia perubatan. Kuliah dan praktikal bermula pada minggu seterusnya. Pada awalnya semuanya kurasakan mudah. Tetapi makin lama aku mula rasa tidak senang duduk. Jujur suasana di sini amat berbeza. Mungkin tidak pentingkan diri, tetapi masing-masing hanya belajar untuk diri sendiri. Suasana belajar bersama-sama seperti di bangku sekolah dahulu sudah tiada. Bahkan komunikasi antara satu sama lain kurasakan kurang seolah-olah masing-masing tidak mahu diganggu.

Di dalam kelas, aku dapat lihat seperti ada yang ingin menindas rakan sendiri. Tidak semua begitu kerana masih ada yang sudi membantu dan berkongsi ilmu, tetapi bilangannya terlalu kecil sehinggakan aku rasa adakah mereka ini layak bergelar doktor suatu hari nanti sedangkan tika bergelar pelajar perubatan, mereka berlagak seperti diktator sehingga membuat orang lain hilang keyakinan diri?

Lama-kelamaan barulah aku sedar. Hidup ini satu perlumbaan. Bukan menindas tapi masing-masing ingin menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Itulah realiti kehidupan. Namun, ia menjadi semakin sukar untukku. Aku rasa seolah-olah diriku jauh tertinggal di belakang. Peperiksaan semester 1 hanya tinggal beberapa minggu sahaja tapi fokus aku semakin menghilang, sedangkan rakan-rakan berhempas-pulas membuat persiapan tetapi aku hanya termenung memikirkan nasib diriku. Aku hampir putus asa. Ingin saja aku menarik diri dari dunia perubatan. Tetapi atas nasihat seorang rakan, aku bertahan. Demi harapan kedua ibu bapaku, aku mula mencari semangat baru.

Aku melangkah ke dalam dewan peperiksaan tanpa sebarang persiapan. Rakan-rakan mentertawakan aku kononnya aku cuba mempermainkan mereka. Kononnya aku lebih bersedia daripada mereka, tetapi ingin berselindung. Perasaan gemuruh memasuki dewan peperiksaan kupendam sendiri. Dua bulan kemudian, keputusan peperiksaan diumumkan. Aku terkejut. Tanpa sebarang persiapan, aku lulus. Aku mula percaya dengan kebolehan diriku. Hal ini seolah-olah memberi semangat baru buat diriku. Aku nekad. Aku tidak ingin berputus asa sebaliknya aku ingin terus berusaha supaya dapat berjuang di samping rakan-rakanku hingga ke garisan penamat.

Semester kedua bermula dengan semangat baru. Azam baru. Tapi nasib seolah-olah tidak memihak padaku. Semuanya bermula dengan baik sehinggalah aku dilanda pelbagai masalah. Sekali lagi aku hampir berputus asa kerana kurasakan di sini bukan tempatku. Namun, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Aku bertemu dengan rakan-rakan yang memahami aku. Siang malam menemaniku di saat senang mahupun susah. Nasihat dan dorongan diberikan. Mereka menjadi sumber kekuatanku di sini. Mereka umpama satu anugerah yang tiada gantinya. Kerana mereka aku bangun semula. Walaupun keputusan peperiksaan semester 2 aku tidaklah begitu cemerlang, namun aku bersyukur. Ada sesuatu yang lebih bernilai aku peroleh, iaitu sahabat. Kini azamku lebih kuat. Aku berjanji pada diriku. Aku tidak akan pernah berputus asa. Meskipun beribu kali aku jatuh, aku pasti akan bangun semula.


Walaupun tahun pertama aku bergelar pelajar perubatan begitu sukar dan mencabar, namun aku telah belajar sesuatu yang sangat bermakna. 

1 comment:

  1. Nice Blog Dear!
    Awesome Post, thanks for sharing the information. i will follow your posts time to time. please check my post also, here some amazing information i can post time to time. so, please check my url - Janam Kundli - Birth Chart

    ReplyDelete